Thursday, April 19, 2012

Maafkan sahaja..!!

Jika kita mendengar kata – kata yang tidak patut dari kenalan kita atau kita ada terbaca tulisan yang memburukkan diri kita, maka berikanlah kemaafan. Apabila ada seseorang mencemuh diri kita, mencaci kita, mengejek kita, merendahkan kita, serta menyakiti kita, maka maafkanlah mereka.

“Huh, maafkan sahaja?mudahnya cakap macam tu?”

“Mengapa kita mesti memberi maaf atas seluruh kejahatan ini? apa manfaatnya?”
Allah menjawab:

“..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (An-Nuur 24 : 22)

Surely, kita suka kan bila kita lakukan suatu kesilapan dan orang itu memaafkan kita dan kita pasti lebih suka kan bila Allah memaafkan segala kesalahan kita yang tidak terkira banyaknya. Jadi, mengapa kita pula yang tidak mahu menjadi seorang pemaaf? adakah diri kita tidak pernah melakukan sebarang kesilapan yang memaksa kita untuk memohon maaf. Adakah kita tidak pernah menyinggung mana – mana hati sepanjang hidup kita, adakah kita tidak pernah menyebabkan seseorang merana, menangis, dan kecewa kerana tindak tanduk kita? jika benar anda tidak pernah menyakiti atau menyebabkan hati mana – mana insan tersinggung dengan tindak tanduk anda, saya ucapkan tahniah ! jika tidak, mari kita muhasabah bersama. Apakah adil kita hanya mahu orang memaafkan kita sedangkan diri kita begitu liat untuk memaafkan ?

Sebenarnya, bila kita menjadi seorang yang pemaaf, kita sendiri yang akan berasa begitu tenang dan nyaman dengan kehidupan kita. Kehidupan kita bakal tidak terusik sedikit pun dengan hasad dengki yang berlarutan yang bakal membuat hati gelisah dan tidak tenteram. Kita sebenarnya beruntung, disaat diri kita memberi maaf kepada seseorang, kita tidak lagi akan menemukan hati kita dengan suasana yang keruh, resah, sengsara, dan sedih. Malah, kita telah membuktikan bahawa diri kita ini sebenarnya mempunyai sifat kesabaran yang tinggi.

No comments:

Post a Comment